NIOSH Certification Sdn. Bhd. (NIOSHCert) merupakan badan pensijilan yang ditubuhkan pada tahun 2004 untuk melengkapi peranan NIOSH Malaysia sebagai pusat latihan, maklumat, perundingan, serta penyelidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
NIOSHCert merupakan syarikat milik penuh NIOSH Malaysia yang ditubuhkan berdasarkan resolusi Lembaga Pengarahnya pada tahun 2003. Mandat asal penubuhannya adalah untuk meningkatkan budaya KKP di kalangan industri dan tempat kerja di Malaysia melalui aktiviti pensijilan, terutamanya bagi syarikat yang telah berjaya melaksanakan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (lebih dikenali sebagai OSHMS).
NIOSHCert telah diakreditasi sebagai badan pensijilan bermula dengan sistem pengurusan OHS, dan kemudiannya diikuti dengan pelbagai sistem pengurusan yang lain. Kini, perkhidmatan NIOSHCert merangkumi perkhidmatan pensijilan untuk sistem pengurusan popular termasuk Kualiti, Alam Sekitar dan Pengurusan Kelapa Sawit (MSPO). NIOSHCert juga menawarkan pensijilan untuk sistem pengurusan yang lebih spesifik iaitu untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya, Keselamatan Makanan, Keselamatan Maklumat, Pelancongan Pengembaraan serta Sistem Pengurusan Anti-Rasuah.
Perkhidmatan NIOSHCert terbuka kepada pelanggan di kalangan industri serta syarikat di seluruh Malaysia dan negara serantau. Beribupejabat di Bangi, Selangor, NIOSHCert juga mempunyai pejabat cawangan di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.
NIOSHCert merupakan Badan Pensijilan yang Diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia). NIOSHCert terlibat secara langsung menyokong mandat Standards Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia di peringkat nasional, serta turut mewakili Malaysia di forum serantau dan antarabangsa.